Surat Saudara Anwar kepada Mahasiswa

Bismillahirrahmanirrahim

Adik-adik yang dikasihi,

Assalamualaikum.... dan salam sejahtera,

Secara kebetulan, di kesempatan terakhir bertemu dengan adik-adik di London April '98 yang lalu, saya mengenengahkan isu
pembaharuan dan reformasi. Bahkan pada tanggpan saya, kegawatan ekonomi perlu dijadikan iktibar mendorong kita
melakukan islah, membetulkan kepincangan termasuk gejala rasuah yang kian merebak, unsur kronisme dan nepotisme dalam
pengurusan ekonomi. Nyata kemelut sistem di negara kita tidak serumit yang dialami oleh beberapa negara jiran, namun jika
dinafikan kewujudan aliran negatif, ia akan mencengkam institusi dan akan menjalar pantas sebagai barah yang sukar dikawal
lagi.

Saya nukilkan semula pengajaran dan iktibar dari Surah Yusuf Alaihiwassalam di dalam Al Quran (Joseph dalam Bible) yang
saya galurkan berulangkali dalam ucapan Belanjawan sejak lima thaun yang lalu; iaitu ekonomi jernih dan melimpah bukan
untuk dimegahkan atau dibelanja secara membazir; bahkan perlu kita insafi bagi menghadapi musim kemarau berikutnya. Bagi
penguasa yang asyik dengan kilauan projek mega, dibuai dengan pujian dan ampu, dibentangkan dengan projek raksasa dan
gemerlapan; mercu tanda terhebat di dunia, empagnan terbesar, kotaraya tercanggih dan mahligai peribadi paling gemilang,
pengalaman Nabi Yusuf adalah usang dan tidak relevan. Akhirnya, manakala kita dikejutkan dengan badai taufan ekonomi
yang menggegarkan, keutuhan ekonomi negara yang dikira cukup kebal, kita gelabah, mengamuk dan menyalak menyalahkan
semua pihak yang lain melainkan kita sendiri.

Kita tidak nafikan bahawa sebahagian dari punca kegawatan ialah akibat sistem ekonomi dunia yang tempang dan tidak adil
bagi negara-negara membangun. Para spekulator matawang mengambil kesempatan dari kelemahan asas atau 'fundamentals'
ekonomi, menyerang dan mengambil keuntungan jangka pendek. Dalam masa singkat, nilai matawang baht, won, rupiah, dan
kemudiannya ringgit juga merudum. Pembaharuan bagi tatacara kewangan dunia (new architecture of the international
financial system) akan mengambil masa. Sementara itu, negara-negara yang menghadapi krisis terpaksa bergelut melepaskan
dari krisis. Mereka merujuk kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi menyediakan dana penyelamat. IMF dan
Bank Dunia pun menggunakan kesempatan tersebut mengemukakan penyelesaian dengan menuntut pembaharuan dalam
pengurusan ekonomi yang lebih telus, bertanggungjawab dan menghindarkan dari amalan rasuah.

Malangnya preskripsi mereka termasuk mengenakan kadar faedah yang tinggi, menaikkan cukai dan membatalkan sebahagian
dari subsidi. Alasan mereka ialah negara tersebut hampir bangkrap dan harus bertindak sewajarnya. Pendekatan tersebut
diamalkan di Thailand, Korea Selatan dan Indonesia dengan harga/kos sosial yang tinggi.

Pada ketika itu, saya memililh jalan sederhana seperti juga Menteri-menteri Kewangan terdahulu, saya merujuk kepada IMF
mengikut Artikel IV Perlembagaan tetapi tidak bersetuju dengan kebanyakan cadangan mereka. Saya bentangkan Belanjawan
Khas berjimat dan berhemat; membatalkan projek-projek mega, megah dan raksasa seperti Bakun, Linear City, Putrajaya fasa
berikut. Bahkan pembinaan kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya turut dibatalkan. Peruntukan pendidikan,
kesihatan dan pembasmian kemiskinan diteruskan. Meskipun kadar faedah dinaikkan untuk sementara waktu bagi
mengelakkan spekulator matawang asing mengambil kesempatan.

Saya tambah dana bagi penjaja, tabung pendidikan, dan lebih dua setengah bilion ringgit untuk Tabung Industri Kecil dan
Sederhana. Dan, bagi mengelakkan canpurtangan politik dalam penyusunan semula bank/institusi kewangan/syarikat-syarikat
bermasalah, saya tubuh DanaModal dan Danaharta. Perbendaharaan, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti harus
lebih tegas melaksanakan tanggungjawab mengikut prinsip dan amalan pengurusan yang baik (good governance).

Menggunakan kaedah pengurusan yang telus, mengamalkan prinsip pertanggungjawaban (accountability) dan membanteras
rasuah tidak disenangi oleh banyak pihak. Bahkan, tatkala saya memangku jawatan Perdana Menteri pada tahun 1997 saya
telah kemukakan Akta Pencegahan Rasuah yang baru, lebih kukuh dan mempunyai peruntukan yang membolehkan tindakan
diambil kepada pemimipin atau pentadbir yang rasuah sekiranya didapati mempunyai kekayaan luar biasa semasa berkuasa
atau diketahui menyorok harta walaupun setelah bersara. Ramai pemimpin yang amat mencurigai Akta tersebut dan tidak
menyenangi keputusan saya.

Syahdan, bermulalah bibit ketegangan dan keretakan di antara saya dan Dato' Seri Dr. Mahathir. Dari sudut ekonomi dan
kewangan termsuklah teguran saya bahawa adalah kurang wajar dimulakan langkah penyelamat (bailout) dengan dana hampir
dua bilion ringgit kepunyaan Petronas untuk syarikat anaknya Mirzan. Saya juga melaporkan mengenai sejumlah wang hampir
satu billion ringgit yang dikeluarkan oleh Tun Daim Zainuddin ke Switzerland. Saya punyai dokumen, yang membuktikan rasuah
Tun Daim menerima wang dan saham sebanyak 600 juta ringgit tatkala beliau menjadi Menteri Kewangan. Pertuduhan Peguam
Negara mengenai rasuah oleh seorang Menteri Kanan disenyapkan sahaja atas arahan Perdana Menteri. Dokumen tersebut
juga terdapat dalam simpanan saya. Beberapa kes lain boleh saya senaraikan, dan saya sukar menelan begitu sahaja. Jiwa saya
tertekan, dan saya merayu dengan tegas meminta Dato Seri Dr. Mahathir melakukan perubahan.

Apa yang dilakukan ialah bertentangan dengan seruan tersebut. Manakala Suruhanjaya Sekuriti menolak permohonan syarikat
UEM mengenai penyusunan semula syarikat yang nyata tidak adil kepada pemegang saham minoriti, Dato Seri Dr. Mahathir
menyarankan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri meluluskannya. Pasaran saham merudum lagi secara
mendadak. Beliau masih mahu meneruskan dengan projek mega, sanak-saudaranya terus mengemukakan projek-peojek
bersama kroni. Pampasan untuk Syarikat Ekran yang dikemukakan oleh Price Waterhouse diketepikan kerana beliau lebih
cenderung menerima rayuan dari sahabat handai atau kroninya. Permohonan penswastaan, projek-projek yang melibatkan
keluarga dan kroni segera diluluskan termasuk projek kontroversial penswastaan perkhidmatan kesihatan untuk syarikat
anaknya, Mokhzani. Bagi meneruskan agenda tersebut, saya mula dipinggirkan dan Tun Daim diminta mengendalikan
rancangan bagi menjamin kepentingan keluarga dan kroni.

Saya masih patuh, bekerja sebagai anggota pasukan tetapi enggan mempertahankan lagi sifat tamak haloba dan
bermegah-megah. Dalam ucapan-ucapan termasuk UMNO, dan kerajaan, saya menyeru dengan sopan supaya kita lakukan
islah dan pembaharuan dengan sebaiknya. Bahkan saya nukilkan ungkapan "creative destruction" oleh pemikir ekonomi
Schumpeter menggesa supaya dalam menangani kemelut sekarang, kita robohkan aspek negatif rasuah, tamak, ketidaktelusan
dan bina satu sistem lebih ampuh yang adil dan bersandarkan kerukanan agama dan pertimbangan akhlak. Himbauan satu
gagasan saya pada ketika itu tidak terbatas kepada sistem ekonomi manusia yang beretika bahkan juga usaha merancang ke
arah demokrasi dan masyarakat madani serta pemerkasaan budaya. Dan intisari pandangan tersebut dihuraikan dalam Asian
Renaissance (1996) dan terjemahan serta kupasan tambahan dalam Gelombang Kebangkitan Asia (1997).

Tindakan, walaupun secara terbatas sekali berserta pandangan yang dihimbau dirasakan oleh kelompol politik termasuk kroni
saudagar kaya di sekeliling Dr. Mahathir sebagai mengancam kedudukan dari kepentingan keluarga Dr. Mahathir dan kroninya.
Komplot kecil kemudiannya merancang konspirasi untuk menyingkir dan melenyapkan karier politik saya. Saya tidak berhasrat
memanjangkan hal peribadi kerana jika kepentingan peribadi yang menjadi pertimbangan saya akan mengaminkan sahaja
semua cadangan 'bailout' dan diam terhadap rasuah dan penyelewengan; membisu dengan kenyataan yang menghina hukum
Islam dan ulamaknya.

Cara sedemikian akan menjamin kedudukan saya nanti sebagai PM dan saya boleh sekongkol dengan cara kebanyakan
pemimpin lainnya, menimbun kekayaan, membina mahligai peribadi dan merompak khazanah negara. Saya tidak sanggup
menanggung dosa, mengkhianati amanah umat, bangsa dan negara. Sesungguhnya, sebelum saya dipecat sekalipun rakyat
sudah mulai sedar terhadap kerakusan kuasa serta rasuah yang merebak. Mereka dapat saksikan sendiri pemimpin-pemimpin
mempamerkan kekayaan, menggadai maruah, rakus menggunakan kuasa.

Jadi saya tidak terkejut dipecat, dikeluarkan dari kancah politik adu-domba dan tamak haloba. Namun cara saya diaib dan
difitnah saban hari; rumah dan keluarga diserbu; saya dipukul, dibelasah teruk dan setelah dipenjara enam tahun mengikut skrip
konspirator yang zalim; usaha mengaib, mendera dan menghukum lagi diteruskan. Seperti mana yang saya nyatakan: "Jasad
terpenjara, jiwa tetap merdeka." Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dapat tabah dan cekal menghadapi ujian. Azizah
dan anak-anak serta rakan-rakan seperjuangan terus gigih meneruskan agenda islah dan reformasi menegakkan kebenaran dan
keadilan.

Saya rumuskan keganasan, fitnah dan kezaliman terhadap saya seperti berikut:
Pertama, memukul saya teruk, kemudian Dr. Mahathir, Tan Sri Rahim Noor dan Tan Sri Mohtar, Peguam Negara cuba menafi
dan menyorok kenyataan. Manakala terpaksa dihadap ke mahkamah, Tan Sri Rahim hanya disaman sama seperti menghadapi
kes kesalahan trafik.
Kedua, dalam salah laku seks, afidavit, aduan dan saman Dr. Munawar, Sukma dan Mior Abdul Razak terhadap penderaaan
Polis memaksa pengakuan palsu. Tidak ada siasatan terhadap Polis berkenaan di sebaliknya, mereka dan Azmin Ali
dihadapkan semula ke mahkamah. Di Mahkamah, dalam kes yang lalu, semua permohonan peguam bela dianggap tidak
relevan, keterangan sepuluh saksi ditolak dan peguam Zainur Zakaria dipenjara kerana afidavit dikemukakan membuktikan
mala fide, niat jahat pendakwa memaksa Dato' Nalla memberikan keterangan palsu dan mengaibkan saya. Dan kini, dalam
kes yang melibatkan Azizan, tiga tuduhan dipinda - mulai dari 1994 (Mei). Setelah pengakuan bersumpah di mahkamah
bahawa tidak ada sebarang salahlaku seks sesudah 1992; pindaan dibuat kepada Mei, 1992. Setelah peguam mengemukakan
notis alibi membuktikan Tivoli Villa belum wujud pada ketika itu, pertuduhan dipinda ke tahun 1993 (di antara Jan - Mac).
Inilah yang disebut skrip konspirator, pendakwaan berniat jahat, berdendam (vile, vindictive, malicious prosecution).
Ketiga, Dr. Mahathir dan kerajaan menggunakan media, wang yang banyak dan jentera kerajaan membuat pelbagai tuduhan
rasuah, alat IMF dan kuasa asing dan sebagainya.

Propaganda dan tuduhan sedemikian mengingatkan saya akan pemerintahan Hitler, Mussolini dan diktator-diktator lain.
Alihkan pandangan rakyat dari isu sebenar, cari musuh dlam dan luar negeri dan serang merkea. Ada pemimpin rapat dengan
Dr. Mahathir yang terpesona dengan muslihat atau strategi Goebbles, Menteri Penerangan Hitler yang menyatakan fitnah yang
diulang puluhan kali akan dapat meyakinkan juga akhirnya. Inilah halacara politik Machiavelli, matlamat menghalalkan cara!
Bezanya ialah Machiavelli menjurus kepada raison d'etre, alasan mempertahankan negara. Meskipun caranya diketahui
menyalahi pertimbangan etika dan hukum agama.

Namun, bagi setengan kalangan tersebut, matlamat bukan lagi negara, tetapi kekayaan peribadi dan kuasa rakus untuk
didewakan oleh rakyat. Justeru itu, peranan media sebagai bahan propaganda dikerahkan untuk maksud sempit. Media
dikuasai oleh kelompok kecil dan towkay atau saudagar kaya. Dr. Mahathir dan Tun Daim menguasai kumpulan Utusan
Melayu, New Straits Times dan TV3. Maka bersama RTM, berhempas pulaslah mereka memfitnah dan menyerang. Jawapan
atau penjelasan saya, Azizah pemimpin-pemimpin parti alternatif tidak dilayani. Tipu helah, adu-domba ditingkatkan.

Akhirnya rasuah saya yang berjaya mereka buktikan dalam mahkamah mengikut skrip mereka ialah keterangan Ketua
Cawangan Khas Polis bahawa saya ada berbincang dengannya. Tidak ada wang, tanah atau lesen! Mengenai IMF, saya telah
jelas. Bahkan sejak 1991, ucapan-ucapan saya di IMF dan Bank Dunia mempertikai penyelesaian umum cadangan IMF serta
menolak prasyarat pinjaman atau bantuan menurut kaedah "conditinalities". Dalam media mereka saban hari dihebahkan
kisah alat negara asing. Alasannya ialah saya disambut dengan permaidani merah di Washington. Setahu saya, PM China Zhu
Rongji juga disambut lebih hebat lagi. Saya sendiri disambut sedemikian di Sudan, Filipina, China dan lain-lain negara. Kalaulah
ini dicemburui, saudara-saudara wajar menyambut Dato Seri Dr. Mahathir dengan tiga permaidani merah di London nanti.
Kemudian kemukan soalan dengan tegas meminta dihentikan kezaliman dan segera berundur.

Kecaman media tidak terbatas kepada saya. Tuan Guru Nik Abdul Aziz diserang kerana kenyataannya mengenai wanita.
Media memutarbelitkan kenyataannya meminta wanita terus menjatga keluarga dan rumahtangga. Kenyataan beliau mengenai
cacian dan carutan terhad kepada penjelasan telah dikecam sebagai menggalakkan mencarut. Yang pelik ialah karya (novel
satira) Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, SHIT dianggap lucah padahal DNA, dubur tidak lucah buat mereka. Ucapan
bernas Ustaz Fadzil Noor dalam Muktamar PAS tidak diberi liputan meskipun kupasan beliau mengenai "keadilan" dalam
perspektif Islam perlu diteliti oleh rakyat. Yang direka-cipta ialah kenyataan mengadu-domba, takutkan kerjasama yang terjalin
di antara PAS, KeADILan, DAP dan PRM. Sdr. Lim Kit Siang dilaporkan sebagai berkata "Malaysian Malaysia" diutamakan
seolah-olah menolak kedudukan Bahasa Melayu dan Hak Keistimewaan Melayu. Kenyataan beliau di sebaliknya dan bahawa
beliau menentang penyalahgunaan kuasa, rasuah, kronisme dan nepotisme tidak dilaporkan. Pandangan tersebut adalah selaras
dengan faham kita. Dalam bidang perniagaan, perlu ada dedikasi peniaga, tetapi yang berlaku sekarang seperti kata Ustaz Hadi
Awang ialah "daddy kasi." Sdr. Syed Husin Ali masih dituduh berpaut kepada ideologi sosialis, walhal sikap beliau tehadap
pembangunan, keadilan berteraskan prinsip adil dan ihsan. Azizah diserang kerana dikatakan keturunan Cina dan ke Filipina
untuk memohon sokongan. Saya tidak pentingkan soal keturunan, yang penting ialah solehah dan istiqamah dalam perjuangan.
Beliau ke Filipina atas undangan Cory Aquino, bekas Presiden Filipina dan untuk menerima Anugerah Wanita Malolos. Bukan
sekadar pemimpin parti alternatif yang diserang, beberapa pemimpin UMNO yang dicurigai kesetiaan kepada Maha Ketua
mereka juga diawasi; kalau-kalau ucapan tidak cukup memuji atau lebih besar kesalahan tidak sanggup mengeji atau mencaci
"musuh" Maha Ketua tersebut. Maka berteriakanlah para gedebe dan hulubalang upahan membuat laporan dan ugutan.

Adik-adik yang dikasihi,

Saya tegaskan bahawa tugas adik-adik adalah bagi menumpu perhatian sepenuhnya dalam bidang pelajaran serta gigih dalam usaha menimba ilmu. Sejajar dengan ini, harus dipupuk kecintaan terhadap ilmu ladhztul ma'rifah atau sapore aude. Namun, ilmu juga satu amanah, membantu sebagai neraca di antara hak dan batil; murni dan jelek. Ini kita bezakan dengan gagasan agar di antara hak dan batil, murni dan jelek. Ini kita bezakan dengan gagasan agar kita menuntu memperolehi ijazah, menguasai kemahiran atau ketrampilan dalam bidang terbatas; untuk tujuan terhad, utilatarian. Berulangkali kita ingatkan akan bahaya
pendidikan yang menghasilkan ijazah tetapi daya fikir dan daya juang; bergerak mengikut telunjuk seolah-olah 'lembu kuddus - manusiawi' (Ivan Ilich menyebut 'sacred cow') saya memilih untuk mendedahkan sebahagian dari kepincangan yang berlaku kerana sebagai warganegara, adik-adik juga bertanggungjawab menilai berdasarkan maklumat. Masalahnya ialah kita fikiran terbelenggu, media memaparkan propaganda murahan seperti mana yang berlaku di zaman penjajah atau di negara pemerintahan kuku besi. Maklumat hanya di sebelah pihak. Yang palsu dan jelek cuba ditegakkan sebagai benar dan bersih.
Adik-adik di luar negara lebih bernasib untuk mengupas perkembangan dengan bebas dan terbuka.

Menjelang pilihanraya, banyak umpan digunakan bonus, kenaikan gaji dan lain-lain ganjaran. Saya percaya taukeh-taukeh kroni akan menghulurkan sumbangan besar kepada Barisan Nasional bagi menjamin kemenangan mereka dengan janji ganjaran besar buat mereka. Larangan khas polis digunakan bagi mengugut penyokong parti alternatif. Fitnah dan kecaman menggunakan media, alat pemerintah akan lebih ganas. Cabaran kita supaya diadakan siasatan bebas harta yang dikumpulkan oleh pemimpin negara; lesen , kontrak, saham dan penswastaan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi; serta mengumumkan nama-nama yang dikatakan kroni tidak dipedulikan. Laporan polis terhadap keganasan polis, kecuaian dan pendakwaan berniat jahat Peguam Negara diketepikan. Kalangan yang membuat laporan pula diugut dan disiasat.

Sekiranya kita mempunyai prinsip perjuangan, cintai negara dan ini menjamin masa depan negara yang adil, kita bertanggungjawab menyampaikan maklumat yang sebenar. Saluran kita kini hanyalah Internet dan Harakah; juga siaran yang disampaikan atas inisiatif individu dan kelompok. Rencana saya dalam Eksklusif baru-baru riuh disiasat oleh Kementerian Dalam Negeri. Mereka gentar dengan maklumat yang terus saya dedahkan mengenai penyelewengan dan rasuah. Jadi saya ditekan, dan pertemuan untuk menyentuh kasih kepada anak-anak saya juga dilarang. Insya Allah, kita akan tabah menghadapi ujian. Yang afdal sekarang ialah usaha gigih menyampaikan maklumat, meyakini keupayaan memancarnya fajar baru Malaysia---perubahan secara aman ke arah keadilan melalui kekuatan padu barisan alternatif rakyat.

Akhirul kalam, diucapkan selamat maju jaya dan salam buat teman-teman dan keluarga. Maaf kerana ditulis dalam keadaan dan ruang terbatas.

ANWAR IBRAHIM
22 JUN 1999