Mengapa Mahu Ganggu Sekolah Agama?
 
Kerana sekolah agama dan pondok sahajalah benteng terakhir umat Islam di mana-mana sahaja di dunia ini. Apabila kerajaan sekular mengambil alih sekolah-sekolah ini, memang perkara pertama yang akan diubahnya ialah korikulum pengajiannya supaya matapelajaran agama semakin dikurangkan dan akhirnya diminimakan.

Perkara yang sama telah dilakukan oleh Presiden Hosni Mubarak di Mesir. Tetapi sentimen rakyat Mesir sangat kuat dan digeruni oleh Mubarak. Mubarak akan menangguhkan projek pensekuleran sekolah agama ini untuk beberapa tahun, dan setelah reda segala bangkangan, beliau akan melancarkan serangannya sekali lagi, dan begitulah seterusnya. Segala-galanya bergantung kepada tahap sensisiviti rakyat. Jika rakyat tidak ambil kisah, memang alamat hancur Islam dalam negara.

Tetapi saya optimis, walau apapun yang cuba dilakukan oleh para penganut agama sekuler ini, cahaya Islam tetap akan muncul. Mereka tidak akan dapat membutakan hati para guru dan murid yang cuba disekulerkan itu. Sebarang jenis bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan sekuler kepada sekolah agama kita terima, jangan tak terima, itu wang rakyat juga. Tapi belakang, lain cerita.

Memang benar, kebanyakan sekolah agama miskin, bangunan lusuh, kerusi meja tak terurus. Tetapi itu tanda mereka dianaktirikan oleh kerajaan yang hanya ingin membela pengajian sekuler, pengajian yang ada 'nilai komersial', sementara yang 'takda nilai komersial' boleh pergi jahanam. Tetapi sekolah-sekolah ini tidak pernah meminta sedekah daripada kamu, wahai kerajaan yang zalim. Walaupun dhaif, mereka tetap berdiri teguh dan terus melahirkan para ulamak yang ikhlas berjuang dan berdakwah. Mengapa kamu harus menganggu mereka sekarang? Kalau benar mereka itu tiada nilai di sisi kamu, mengapa sekarang baru nak prihatin kepada nasib mereka?!

Hanya sebabnya ialah kerana kamu merasakan bahawa sekolah agama ini tidak menguntungkan kamu pada jangka masa panjang. Tidak menguntungkan kepada kamu dalam usaha kamu untuk terus- menerus mengaut harta rakyat. Tidak menguntungkan kamu kerana mereka itulah sahaja golongan dalam negara ini yang berani menegur segala kesalahan dan dosa yang kamu semua lakukan sepanjang pemerintahan zalim kamu itu, sedang di masa yang sama, anak-anak sekuler yang kamu manjakan itu hanya tahu membuncitkan perut mereka dan memejamkan mata mereka setelah perut mereka itu berjaya kamu buncitkan.

Itulah makna kemerdekaan sebenar. Mereka akan terus merdeka, akan terus berjuang, walaupun dengan kerusi meja yang lusuh dan bangunan yang hampir runtuh itu.

Salam,

HC