Anwar Ibrahim: Persidangan Pegawai Undang2 JPN, 10 Jun 1995
 
Ucapan Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, di Upacara Penutupan Persidangan
Pegawai Undang-Undang Jabatan Peguam Negara, 10 Jun 1995

Ke Arah Pemantapan Sistem Keadilan Negara

Persidangan tahunan pegawai undang-undang Jabatan Peguam Negara sememangnya amat penting sebagai satu forum untuk membincangkan dan meneliti secara jujur keberkesanan sistem keadilan dan kelicinan pentadbiran undang-undang negara.

Sistem keadilan dan pentadbiran undang-undang sebegitu penting bagi negara dan rakyat, maka ia perlu diteliti dan dinilai dari masa ke masa agar sentiasa menepati kehendak keadilan dan kepentingan rakyat. Justeru itu juka kita mahu forum seperti ini benar-benar berkesan untuk mencetuskan cadangan ke arah pemantapan sistem keadilan dan perundangan negara maka kita perlu bersedia mengambil sikap yang lebih kritis dan berusaha meneroka pemikiran baru dalam bidang perundangan.

Pemantapan sistem keadilan dan perundangan merupakan agenda penting negara kerana ia adalah tunggak pertumbuhan masyarakat awam, perkembangan demokrasi dan asas kesejahteraan rakyat. Tanpa pentadbiran keadilan dan perundangan yang berkesan dan berwibawa masyarakat dan negara kita tidak mungkin dapat bergerak menjadi sebuah negara maju. Pemerintahan berteraskan undang-undang melindungi setiap hak dari dicabuli dan memberikan pembelaan kepada mereka yang
teraniaya. Ini bukan sahaja penting kepada diri perseorangan tetapi juga kepada entiti korporat. Ia memberikan keyakinan kepada masyarakat perniagaan dan pelabur kerana ada predictability atau keterdugaan dalam sistem justeru kerana wujudnya tempat rujukan yang berwibawa untuk menyelesaikan segala pertelingkahan atau dispute.

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara keyakinan rakyat dan masyarakat setempat terhadap sistem perundangan dan ia mestilah ditegakkan di atas prinsip keadilan dan kemaslahatan am. Setiap undang-undang yang digubal perlu menepati prinsip keadilan, kesaksamaan dan kepentingan awam.

Kita perlu menghapuskan tanggapan, sekiranya ada, bahawa undng-undang yang kita gubal tidak saksama. Apabila sebahagian besar rakyat merasakan bahawa undang-undang yang kita gubal tidak adil atau menjurus untuk menjaga kepentingan kepada golongan tertentu maka kepercayaan rakyat terhadap kerajaan akan terhakis. Dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti Malaysia rakyat akan menterjemahkan bantahan mereka dalam pilihanraya. Itu adalah hak mereka yang tidak boleh dinafikan. Maka kesinambungan sesebuah Kerajaan juga bergantung kepada sistem perundangan yang
adil dan menjamin kepentingan rakyat terbanyak.

Pada hakikatnya, mengurus negara berlandaskan prinsip keadilan dan kemaslahatan am adalah pertanggungjawaban moral. Kerajaan sekarang mempunyai mandat yang luar biasa besar dari rakyat. Namun ia tidak boleh dijadikan sebagai lesen untuk menggubal undang-undang sesuka hati tanpa pertimbangan keadilan, kesaksamaan, hak asasi manusia, hak harta benda, senangat dan prinsip perlembagaan. Kesetiaan kepada prinsip keadilan dan kemaslahatan am adalah pertanggungjawaban
moral yang tidak boleh ada tawar menawar. Bahkan mandat besar dari rakyat perlu meningkatkan iltizam kita untuk menjayakan amanah tersebut agar Kerajaan sentiasa menampilkan sifat keadilan, kesaksamaan dan keprihatinan terhadap kepentingan awam.

Salah satu cabaran besar dalam pemikiran undang-undang semasa ialah berkembangnya aliran pemikiran yang berusaha memisahkan antara undang-undang dan keadilan sehingga undang-undang itu menjadi persoalan yang begitu teknikal yang tidak lagi menyangkut cita-cita keadilan. Antara pendokong aliran ini Oliver Wendell Holmes, seorang hakim dan pemikir perundangan konservatif Amerika. Apabila beliau diminta melaksanakan keadilan, beliau menjawab: "That is not my job. It is my job to apply the law." Bagi kita, matlamat undang-undang sudah semestinya untuk menegakkan keadilan.

Untuk menjayakan cita-cita tersebut, iaitu perlaksanaan undang-undang sebagai langkah menegakkan keadilan maka kita perlu mempastikan setiap undang-undang yang kita gubal menepati kehendak keadilan dan kesaksamaan; dan memberikan pembelaan kepada semua tanpa mengenal perbezaan pangkat, warna kulit dan kekayaan. Dan pentadbiran keadilan kita perlu kukuh dan berwibawa sehingga tidak ada mana-mana pihak atau golongan boleh mempengaruhi proses keadilan dan undang-undang untuk kepentingan sempit mereka.

Sesungguhnya Malaysia kini berada di persimpangan zaman di mana kita sepatutnya mempunyai keberanian untuk memperkasakan prinsip-prinsip perundangan dalam kehidupan masyarakat. Mandat dari rakyat yang luar biasa besar seharusnya memberikan kita keyakinan bahawa masyarakat Malaysia semakin matang dan kemajuan kemasyarakatan selanjutnya bergantung kepada kemampuan kita menampilkan sifat-sifat keadilan, kesaksamaan dan menghapuskan ketidaksamaan yang menjolok mata. Kita mahu masyarakat kita bersikap lebih terbuka dan tasamuh, bebas dari kongkongan sentimen perkauman sempit, ekstrimisma agama dan ideologi politik dan berlapang dada terhadap perbedaan dan kepelbagaian. Memperkukuhkan prinsip-prinsip perundangan menjadi pra-syarat untuk mencapai cita-cita tersebut. Dengan menjayakan cita-cita ini kita nanti bukan sahaja boleh berbangga dengan daya saing dan ketangkasan ekonomi negara tetapi juga dengan sistem perundangan negara yang disegani.

Bagi umat Islam kita perlu melihat usaha memantapkan prinsip keadilan melalui undang-undang negara sebagai satu matlamat siyasah syar'iyyah yang utama. Adalah suatu kekeliruan jika kita melihat pemantapan sistem undang-undang negara sebagai langkah sekular yang tiada kaitan langsung dengan penghayatan cita-cita Islam. Kita yakin perkembangan kefahaman rakyat terutamanya masyarakat perundangan terhadap syariah secara mendalam boleh membuka satu lembaran baru dalam
perkembangan perundangan negara.

Selama ini perdebatan antara undang-undang sekular dengan undang-undang Islam telah meletakkan kedua-dua sistem tersebut pada pihak yang saling bertentangan. Semestinya dua sistem yang dilahirkan oleh dua tamaddun yang berasingan mempunyai banyak perbedaan. Tetapi sikap yang lebih positif dan bermakna ialah berusaha untuk mencari titik temu atau convergence antara kedua sistem dan mengambil manfaat dari kekuatan kedua-dua sistem. Sistem perundangan yang berasaskan Common
Law Inggeris mempunyai kekuatan yang tersendiri dan telah meletakkan asas sistem keadilan dan perundang moden di Malaysia. Ia telah memberikan manfaat yang tidak sedikit kepada masyarakat kita, justeru itu kita tidak boleh secara bergopoh gapah untuk menolaknya ke tepi. Adalah jelas bahawa beberapa matlamat asas sistem perundangan awam semasa adalah juga menjadi matlamat siyasah syar'iyyah.

Saya yakin tradisi Islam yang melahirkan pemikir perundangan besar seperti Al-Ghazalli, Ibn Qaiyyim, Ibn Hazm dan lain-lain dan tradisi Asia seperti aliran perundangan dalam Konfucianisme boleh memberikan nafas baru kepada pemikiran perundangan semasa.

Berdasarkan pengalaman kita yakin bahawa pendekatan yang berkesan untuk membuat perubahan ialah dengan secara berperingkat dan mengikut keutamaan. Arah perkembangan sistem perundangan negara  di masa depan haruslah mencerminkan sifat dan nilai masyarakat kita. Dalam konteks ini kita telah bersetuju dan mengambil langkah agar perkembangan undang-undang kita tidak dibatasi oleh Common Law Inggeris, sebaliknya kita perlu lebih kreatif agar perkembangan undang-undang kita juga didorong oleh kebudayaan Asia termasuk cita-cita Islam.

Tetapi perkembangan undang-undang kita tidak semestinya melalui saluran legislatif. Sebenarnya peranan para hakim sendiri bukanlah kecil dalam mencorakkan perkembangan sistem perundangan negara. Melalui "judicial creativity" dalam menghakimi setiap kes para hakim boleh memperkayakan khazanah tradisi perundangan negara. Yang kita perlukan dewasa ini ialah untuk menghalakan perkembangan sistem perundangan negara yang memberikan perhatian kepada prinsip keadilan dan moral dan dapat mengharmonikan antara beberapa matlamat seperti antara kebebasan individu dengan ketenteraman awam, hak perseorangan dengan kepentingan rakyat terbanyak. Semangat inilah yang harus difahami oleh masyarakat perundangan kita dan khususnya pihak-pihak yang dipertanggungjawabkan merangka undang-undang negara, melaksana dan mentafsirkannya. Malaysia adalah sebuah negara yang masih muda dan mempunyai potensi yang besar. Begitu juga bagi perkembangan perundangan negara. Jika kita memiliki keazaman dan dedikasi, insya Allah kita akan berjaya.

Terima kasih.