Sajak: Penswastaan Itulah Wawasan
oleh Hassan Karim

tamak pernah membinasakan
satu bangsa
sebuah negara

kini ia muncul kembali
di negeri kita sendiri

beberapa buah keluarga
berkait rapat sesama mereka
menghimpun harta
ribuan juta
antara mereka
hasil usaha
kabilah oligarki
atau autokrasi
menghimpun kuasa
terpusat ke tangan
segelintir kecil mereka
selama hampir
dua dasawarsa

anak-anak mereka
kini membeli armada kapal laut
kawan-kawan mereka kini
membeli armada kapal terbang
sahabat-sahabat mereka
kini
membeli bank-bank

apa yang mereka tidak perdagangkan?
elektrik, telekom dan air
telah mereka swastakan
tarifnya naik tinggi
tak macam dulu
sedang khidmatnya sering terganggu

sekarang pendidikan pun
dah jadi barang komoditi
bisa menguntungkan
lalu universiti mereka korporatkan
 

akhir sekali
sampai soal hidup dan mati
kesihatan rakyat mesti dibayar
mesti dibeli
tiada percuma lagi
hospital rakyat tidak boleh
dibiarkan membebankan kerajaan
lalu mesti diswastakan

segala-galanya sekarang ada nilai dagang
negara kebajikan satu doktrin usang
wang  wang  wang
wang  wang  wang
Itulah prinsip ekonomi pasaran
wang wang wang
wang wang wang
penswastaan
penswastaan
penswastaan
Itulah sebenarnya wawasan

3 Julai 1999