Mari Masuk Mazhab Hanifi
 
Bertuah sungguh para penjudi di Malaysia sekarang ini kerana mereka sekarang sudah boleh berjudi dengan aman tenteram sejak tertubuhnya sebuah mazhab yang digelar mazhab Hanifi. Menurut mazhab baru yang dipelopori oleh seorang bekas Ketua Polis Negara ini, al-Quran tidak menyebut tentang hukum haramnya menjadi towkey judi di Genting Highland, sekaligus menafikan hukum haramnya berjudi di kalangan penjudi kecil-kecilan di kedai-kedai kopi dan premis peribadi.

Mazhab ini turut diakui kesahannya apabila tiada seorang pun ulamak dan institusi kerajaan yang menyatakan bantahannya terhadap fatwa baru tersebut. Ia juga tidak digolongkan ke dalam kategori ajaran-ajaran sesat yang wajib dihapuskan menurut Enakmen Hukum Syarak Negeri Selangor dan negeri-negeri lain. Kemungkinan ianya sekarang sedang menunggu masa yang sesuai untuk dirasmikan oleh pihak berkenaan.

Sebuah lagi fatwa baru dari mazhab yang tidak dikenali juga turut dikeluarkan minggu lalu apabila seorang ketua polis sebuah cawangan di ibukota menyatakan bahawa permit polis hendaklah diperolehi sebelum sebarang sembahyang jamaah di mana- mana masjid diadakan. Sekurang-kurangnya itulah yang beliau faham daripada sebuah peruntukan dalam Akta Polis yang menyebut tentang perhimpunan tanpa permit.

Kemungkinan tidak boleh dinafikan bahawa selepas ini permit tersebut juga akan merangkumi tempoh berapa lama sembahyang tersebut akan dilangsungkan serta bilangan wirid dan doa yang ingin dibaca selepas sembahyang, kalau diizinkan. Perbahasan tentang apakah setiap sembahyang Jumaat juga perlu mendapat permit polis selepas ini dijangka menjadi topik hangat, memandangkan sembahyang Jumaat biasanya disertai oleh ratusan malahan kadang-kala ribuan manusia di mana kemungkinan berlakunya kekacauan dan huru-hara adalah sangat tinggi.

Hakikat bahawa pihak polis berpangkat tinggi di Malaysia sekarang ini cukup terlatih dari segi mengeluarkan fatwa baru memang tidak boleh dinafikan lagi. Sudah tibalah masanya untuk setiap lapisan rakyat negara ini memberikan penghormatan tidak terbelah bahagi kepada pihak polis.

Salam,

HC