ANALISA NAKAL TV3

Bulletin Utama TV3 3-Julai-1999 menyiarkan kajian khas apa yang mereka kata PAS Syiah dan Khawarij. Mulanya terkejut juga, biasanya apabila TV3 buat lapuran Khas, mereka mengeluarkan butir-butir peristiwa yang lengkap dengan tarikh dan apakah peristiwanya. Tetapi laporan khas mereka untuk memfitnah PAS itu hanya mengulangi dan mengaitkan saja berita-berita mereka sebelum ini, lalu dikaitklah dengan beberapa orang di Besut yang kena pecat oleh PAS.

UMNO sudah mendapat maklumat dari SB-SB mereka bahawa PAS sekarang bukan calang-calang lawan, makin hari PAS bertambah kuat, samada di Kelantan atau di negeri lain di Semenanjung. Di sabah memang ahli PAS tak seramai hantu di dalam senarai SPR itu. Adalah diyakini, berdasarkan maklumat itulah, beberapa strategi UMNO yang dikepalai oleh Khalil dan rakan baiknya Tengku Adnan yang baru dilantik itu. Aziz Shamsuddin juga ada bersama mereka. Namun, Aziz tidak boleh keluar di mana-mana TV kerana dia ada kaitan politik langsung dengan Mahathir. Khalil dan Tengku Adnan atas nama UMNO dan Aziz Shamsuddin untuk Mahathir.

Psikologi mereka kita boleh jangka. UMNO dengan data yang ada sekarang tahu mereka tidak mampu lagi mengeluarkan berita tentang DSAI di TV kerana semakin mereka ungkit berkenaan DSAI, rakyat semakin nampak kezaliman UMNO. Fakta yang mereka ada tidak mampu menarik kepercayaan rakyat terhadap dakwaan Mahathir ke atas kelakuan DSAI. Disamping itu, rakyat akan kenang kes DSAI sebagai kes naya FITNAH.

Justeru itu, mereka tidak boleh berbuat demikian sekerap dulu, kerana ianya melemahkan UMNO. Begitu juga halnya dengan kenyataan Datuk Ibrahim Ali, ianya mesti dikurangkan atau ditamatkan terus kerana setiap kali dia buat kenyataan, kenyataan itu akan memburukkan imej UMNO, sebab itulah Kuli pula nampak popular berbanding Ibrahim Ali, namun, UMNO lupa dari segi sejarahnya samada anak Ali atau anak Hamzah, keduanya adalah suka melompat. Rakyat sukar terima orang lompat sana lompat sini. Bukan saja prinsip tak ada, tetapi tak boleh percaya.

Tetapi oleh kerana tabiat UMNO ialah menggunakan bekas lawan mereka untuk menghentam lawan mereka, maka dalam keadaan manapun, Ibrahim dan Kuli nampak lebih wibawa dari Annuar Musa dan Mustapha Muhamad. Memang inilah tabiat tipikal UMNO tak kira siapa Setiausahanya, UMNO akan menggunakan orang yang kecewa untuk membantu mereka, kerana biasanya psikologi orang kecewa tak akan kenal diri sendiri. Kadang-kadang orang kecewa lupa maruah dan boleh berkelakuan macam orang gila pun.

Data dan fakta yang SB-SB UMNO itu bagi ialah bagaimana sambutan rakyat ke atas ceramah PAS adalah luar biasa. Di mana pun ia diadakan, sambutannya lebih dari sambutan ucapan Mahathir di Permatan Pauh semalam. Data-data itu membuktikan PAS sudah mula dikenali rakyat, oleh itu, UMNO tak mahu rakyat melata mengenali PAS secara hati kehati kerana UMNO percaya, tak kenal maka tak cinta. Berdasarkan hal inilah, UMNO dengan jentera yang ada terpaksa dalam apa cara jua pun akan cuba menyekat hati-hati rakyat ini dari berdamping dengan PAS.

Untuk menyekat hati-hati rakyat yang sudah mula ingin berbaik dan mengenali PAS itu, UMNO dengan media yang menggunakan kaedah ‘turning over’ itulah. Inilah satu-satunya kaedah amat diyakini UMNO. Mereka bukan menyatakan yang benar didalam turning over mereka, turning over hanya berkesan dan boleh digunakan untuk kes-kes palsu saja. Serta turning over juga dapat mempengaruhi orang-orang  yang tak ada prinsip. Yang benar lagi berprinsip, turning over tidak boleh digunakan.

Teknik mereka pula ialah dengan cara mengulang-ulang benda yang sama, samada memburukkan orang, mengaibkan orang, ianya diulang-ulang sehingga mereka mendapat laba dari ulang-ulangan itu. Misalnya, FITNAH pun mereka ulang-ulang juga sehingga ia boleh menyakinkan rakyat bahawa apa yang sudah mereka buat sebelumnya itu tidak fitnah, walhal ianya fitnah. Apabila ia selalu diulang-ulang, rakyat akan lali dan ia akan menjadi biasa kepada rakyat, ketika inilah strategi mereka menjadi.

Untuk mengelak dari terpengaruh dengan ‘turning over’ itu, cuba elakkan daripada mendengar, melihat dan membaca media-media mereka. Yakni BOIKOT terus mereka. Manakala bagi rakyat yang kuat semangat dan tahu berfikir, ianya tidak memberi kesan dan bahkan media “turning over” itu akan kena balik. Kemudian, keluarlah sebanyak mana analisa TV3 pun, ianya tidak mengubah keadaan yang ada. Fitnah tetap fitnah dan tempatnya ialah akan diganti oleh kebenaran jua. Kalau fitnah itu mereka, maka kebenaran tentulah kita.

Sekian

muramozi