SAH HANTU UMNO DALAM SENARAI SPR.

Mahathir Mohamad berkata pembangkang juga menipu dalam usaha mewujudkan senarai pengundi hantu di dalam data daftar pemilih oleh Suruhanjaya Pilihanraya. Beliau menjawab soalan ketika ditanya wartawan dan ianya disiarkan di Berita Tengahari 1.30 pm hari ini, 3-Julai-1999.

Sekali kita dengar memang kita akan merasakan bahawa pembangkang terlibat di dalam memasukkan hantu di dalam senarai kepunyaan SPR itu. Tetapi apabila diteliti di dalam kata-kata beliau itu ada perkataan ‘juga’ yang mengubah maksud yang Mahathir nak sampaikan kepada rakyat. Perkataan ‘pembangkang juga’ terlibat di dalam memasukkan senarai hantu itu bolehlah dimaksudkan bahawa selain dari pembangkang ada pihak lain yang memasukkan hantu ke dalam data SPR itu.

Justeru itu, dalam kontek Pilihanraya, dua pihak sahaja yang terlibat iaitu Parti Pemerintah dan Parti Pembangkang. Sudah tentulah tanpa diberitahu pun pihak selain pembangkang yang memasukan hantu itu ialah pihak Parti Pemerintah.

Di sini saya ingin mengajak pembaca semua menilai kata-kata Mahathir itu.

Pada keadaan idealnya, memang tak sesiapa pun selain kakitangan SPR saja yang boleh access data pengundi di dalam bank data mereka. Namun, di segi kerajaan dan kuasa-kuasanya, kerajaan masih mempunyai autoriti ke atas SPR, Namun lazimnya parti UMNO khasnya selalu menggunakan jentera kerajaan untuk kepentingan politik UMNO.

Mahathir tidak dapat lari lagi bahawa merekalah yang memasukkan hantu-hantu itu ke dalam negara lalu mereka senaraikan sebagai orang mereka. Bagaimakah pembangkang boleh mengubah data-data itu sedangkan pembangkang tidak ada apa-apa kuasa ke atas Suruhanjaya berkenaan. Tetapi dalam keadaan UMNO yang bertabiat menggunakan jentera kerajaan itu, kemungkinan mereka yang memasukkan hantu itu adalah besar. Tetapi Mahathir cuba menyalahkan pembangkang pula dengan harapan dia boleh menghalalkan perbuatan mereka memasukkan hantu-hantu itu. Kononnya mereka dan pembangkang sama-sama salah. Klenton saja dia.

Alasan Mahathir ini serupa alasan Pak Andih kepada Mak Andihnya bahawa bukan anak mereka saja yang mati, tetapi anak orang lain pun ada yang mati juga. Maksudnya bukan UMNO saja yang memasukkan hantu itu tetapi pembangkang juga begitu. Inilah tabiat tipikal orang salah yang panik, dia ingin membela dirinya dengan menyalahkan orang lain.

Alhamdullilah, temberang ini telah mula disedari rakyat, semakin mereka temberang, semakin banyak tembelang mereka akan pecah dan membusukkan, mereka juga yang akan rugi jika semakin banyak temberang ditemberangkan.

UMNO sebenarnya bukan saja panik, tetapi mereka sekaligus takut kepada bayang-bayang mereka sendiri, mujurlah Allah jadikan bayang-bayang berwarna hitam, kalau Allah jadikan hijau sebagai warna bayang-bayang, nescaya Dr.Siti Zaharah akan memohon supaya Allah pinda warna bayangan berkenaan kepada warna selain warna hijau.

Semakin banyak UMNO dan Mahathir bercakap, semakin banyak temberang mereka rakyat tahu, semakin rakyat memyampah dengan mereka. Ini kerana tidak ada penipuan dapat diselamatkan dengan kebenaran. Untuk tetap selamat, penipu akan sentiasa terus menipu dan menipu sehingga semua rakyat tahu apa yang mereka percaya selama ini juga adalah penipuan, ketika inilah kebenaran akan diketahui dan penipu tak akan selamat lagi. Yang benar tetap benar dan yang salah tidak boleh bertahan selamanya.

Sekian

muramozi