Pilihanraya Umum Kali Ini Sangat Penting

Oleh Hassan Karim

Pilihanraya Umum kali ini akan diadakan di tengah-tengah kebangkitan rakyat di seluruh negara. Rakyat hari ini sedang bangun menuntut perubahan yang besar, satu perubahan tulen dalam masyarakat. Anda pergilah di mana juga baik di bandar besar, pekan kecil atau kampung-kampung jauh di pendalaman, rakyat sekarang sedang bercakap tentang perubahan politik, tentang
masalah ekonomi negara. Rakyat kini di mana-mana jua sedang bercakap soal masa depan Malaysia, masa depan masyarakat kita. Rakyat bercakap soal kepimpinan dan pemerintahan negara. Rakyat bercakap soal demokrasi, soal perlembagaan,
soal kedaulatan undang-undang, soal penyalahgunan kuasa dan sebagainya.

Rakyat pada hari ini mahukan perubahan yang bermakna dari segi politik, ekonomi, dan juga budaya. Rakyat mahukan demokrasi., rakyat mahukan kebebasan dari belenggu penekanan undang-undang yang keras lagi zalim. Rakyat mahukan satu pemerintahan yang telus, yang berhisbah, pemerintahan yang tidak rasuah, tidak melakukan amalan nepotisme dan juga kronisme dalam segala bentuk.

Rakyat sekarang sudah sampai ke peringat bercakap bukan saja sekadar mahu menguatkan suara pengkritik atau pembangkang di dalam Parlimen ataupun di Dewan-Dewan Undangan Negeri. Tetapi rakyat sedang bercakap soal
menggantikan pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang telah berkuasa selama 42 tahun.Rakyat sekarang mahukan perubahan kerajaan. Rakyat mahu BN digantikan. Inilah perkembangan besar yang sedang berlaku sekarang.
 

Perubahan kerajaan adalah tuntutan sebahagian besar rakyat pada hari ini. Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri bagi kerajaan BN secara sedar atau tidak telah dapat merasakan kehendak rakyat untuk perubahan. Justeru itu beliau cuba menakut-nakutkan rakyat.Kita dapat melihat kenyataan-kenyataan Mahathir tentang hal ini hampir setiap hari. Misalnya pada 10 Jun beliau berkata bahawa jika kerajaan yang memerintah selepas pilihanraya tidak kuat, maka tiada kehidupan selesa bagi rakyat.

Sebelum itu Mahathir memfitnah apabila mendakwa dalang asing akan membantu pembangkang untuk jatuhkan kerajaan. Beliau menakut-nakutkan rakyat dengan berkata bahawa Pilihanraya Umum yang akan datang sebagai pilihanraya terkotor dalam sejarah. Malah Mahathir juga terus memfitnah dengan menuduh parti-parti pembangkang meracuni pemikiran pelajar-pelajar untuk tumbangkan kerajaan.Tuduhan-tuduhan Mahathir itu perlu dijawab oleh parti-parti alternatif dan juga badan-badan bukan kerajaan serta individu perseorangan yang mahukan perubahan. Tulisan saya ini adalah satu usaha kecil untuk menjawab tuduhan Perdana Menteri kita itu.

Pilihan untuk menjatuhkan atau menumbangkan BN adalah pilihan rakyat dalam Pilihanraya Umum tak lama lagi. Semua fitnah dan tuduhan Mahathir yang disebut tadi tidak berasas dan jahat. Tidak ada dalang asing yang boleh menjatuhkan sebuah kerajaan di sebuah negara merdeka jika kerajaan itu adil dan disokong rakyat. Tetapi sebuah kerajaan yang tidak adil dan zalim akan jatuh sendiri jika ditolak oleh rakyat.Rakyat Malaysia yang ada harga diri, maruah dan kebebasan serta sayangkan kedaulatan dan kemerdekaan tanahair sekali-kali tidak akan membenarkan kuasa asing ataupun dalangnya untuk campurtangan dalam urusan pemerintahan negara ini. Jadi Mahathir usahlah membuat fitnah yang jahat ke atas parti-parti pembangkang. Berhentilah dari kerja memomok-momokkan rakyat.

Regim Mahathir dan BN sekarang sedang berada di hujung mandatnya. Ia bimbang sekarang. Misalnya Mahathir dan BN tidak pasti apakah sikap dan pilihan lebih sejuta pengundi yang baru mendafatar. Kebanyakan mereka ini muda dan berpelajaran. Pilihanraya nanti merupakan buat pertama kali mereka mengundi. Pemerintah BN sekarang tidak tahu siapa yang akan dipangkah dan dipilih oleh pengundi-pengundi generasi baru yang muda, berpendidikan dan berpelajaran yang mempunyai kebebasan dan terlepas dari ikatan tradisi lama kepimpinan generasi lalu seperti yang berlaku di desa dan luar bandar. Jadi ada cadangan di kalangan BN supaya pilihanraya diadakan segera supaya mereka yang baru mendaftar ini tidak dapat mengundi kerana SPR terlalu  lemban dan perlahan untuk memproses pendaftaran mereka. Kelembanan ini berlaku dalam zaman tekonologi malumat yang terkini!

Malah BN sendiri pun tidak pasti akan sokongan anggota partinya di dalam pilihanraya akan datang. Jadi,kebangkitan rakyat di seluruh negara sekarang yang mahukan perubahan menjadikan pilihanraya kali ini sangat penting, menarik dan menentukan tentang masa depan rakyat negara ini keseluruhannya.

Rakyat Malaysia kini sudah berani menghakimi kerajaan yang ada sekarang sama ada layak untuk memerintah semula atau sudah sampai masanya BN diturunkan dari tampuk kuasa. Pilihanraya kali ini juga buat pertama kali memberi rakyat peluang untuk menghakimi satu gabungan parti-parti pembangkang.  Gabungan itu berhasrat menjadi satu barisan alternatif bagi
menggantikan kerajaan BN yang sudah lama berkuasa.

Jadi bukan BN saja yang diuji dan dihakimi rakyat. Parti-parti pembangkang juga diuji. Parti-parti pembangkang memikul tangggungjawab yang besar untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka layak dan berwibawa untuk diberi peluang, dan diberi mandat serta kepercayaan bagi memerintah Malaysia. Jelasnya gabungan parti-parti pembangkang  juga sekarang sedang dihakimi. Justeru itu, jika mereka berpecah, berkelahi soal remeh temeh sebelum pun pilihanraya diadakan, atau melanggar pesan, burung terbang jangan dipipiskan lada, maka rakyat akan hilang percaya. Sudahnya, BN berkuasa semula. Hal ini mesti dielakkan sama sekali.

Di Indonesia, rakyatnya telah membuat pilihan. Regim Order Baru Suharto yang berkuasa selama lebih 32 tahun itu yang terlibat dengan penindasan dan penafian hak asasi manusia, perompakan berbilion juta ringgit harta negara dengan cara koprupsi, kronisme dan nepotisme  kini telah jatuh. Kezaliman Suharto yang mengkayakan sendiri anak-anak dan saudara mara dan konco-konconya sehingga Indonesia bangkerap atau muflis dan dosa pembunuhan ke atas beratus ribu rakyat Acheh, Timur Timor dan Irian Jaya sekarang mendapat pembalasan. Apabila rakyat mendapat mandatnya kembali diktator Suharto dan bonekanya terpaksa turun.

Apa yang berlaku di Indonesia juga berlaku di Malaysia. Banyak persamaannya dari segi rekod penindasan, pencabulan hak asasi, penekanan ke atas kebebasan akhbar dan kebebasan kehakiman; rekod rasuah dan penyelewengan ekonomi serta kewangan yang dilakukan oleh Dr Mahathir Mohamad dan kroni-kroninya. Dalam Pilihanraya Umum di Malaysia kali ini, Mahathir dan BN akan dibawa ke hadapan rakyat untuk diadili dan dihakimi.

Jadi kita menuntut satu pilihanraya yang adil. Kita tidak mahu penipuan berlaku dalam proses demokrasi ini sehingga kebangkitan tulen rakyat yang mahukan perubahan atau refomasi dipatah atau ditewaskan oleh penipuan dan penyelwengan. Kita tidak mahu satu pemerintahan yang tidak adil dan zalim kembali berkuasa semula. Dalam hal inilah fungsi Suruhanjaya
Pilihanraya (SPR) penting sekali. SPR mesti bersikap adil, bebas, neutral, tegas dan berani menjalankan amanah rakyat untuk mengendalikan sebuah pilihanraya umum yang adil, bersih, telus dan demokratik.

Dalam Pilihanraya Umum nanti, parti-parti alternatif yang terdiri daripada PAS,PRM, DAP dan KeADILan perlu bekerja keras untuk menang. BN yang telah lama berkuasa walaupun ia sekarang luka dan cedera tetapi ia tidak akan menyerah kalah begitu saja. BN yang dianggotai oleh parti-parti perkauman cauvanis seperti UMNO, MCA dan MIC dan kerabatnya akan berbuat apa saja termasuk menggunakan isu perkauman untuk memecah dan menakutkan rakyat. Mereka yang terdesak dan tersepit itu akan menggunakan ancaman, rasuah, media dan juga jentera kerajaan untuk terus berkuasa.

Pilihanraya Umum kali ini mesti mengembalikan kuasa rakyat. Kuasa politik mesti diserah kembali kepada rakyat. Demokrasi yang tulen ialah demokrasi untuk rakyat terbanyak. Kini ia dinafikan. Demokrasi di Malaysia hari ini terbalik. Demokrasi diperalatkan oleh Mahathir Mohamad dan kroni-kroninya.Sebagai contoh, Mahathir menentukan bila tarikh pilihanraya
hendak diadakan. Mahathir juga yang menentukan siapa patut jadi Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya. Dia juga yang bercadang hendak memendekkan lagi tempoh berkempen dalam pilihanraya.

Rakyat pada masa sekarang menuntut refomarsi. Reformasi yang dimaksudkan itu bukan nya keadilan untuk satu orang atau satu golongan tertentu. Reformasi kita ialah untuk keadilan ekonomi, politik dan budaya bagi rakyat terbanyak yang selama ini ditindas, dizalimi, teranianya, terabai, miskin, daif dan lemah. Golongan inilah yang dinafikan keadilan.

Perjuangan untuk menuntut keadilan, memperjuangkan hak bagi golongan yang tertindas, dizalimi, teranianya, miskin,lemah dan daif adalah satu perjuangan suci. Ia juga merupakan satu jihad. Perjuangan adil dan hak ini adalah juga satu amal ibadat.
 

=======