Sembang REFORMASI Dengan Tukang Gunting
 
Assalamu'alaikum.
Tadi saya pergi gunting rambut di sebuah kedai gunting rambut Melayu. Murahla sikit sebab takda air-con. Saya cuba nak cocok dia punya idea tentang pilihanraya, sebagai pemanas suasana la katakan. Memang gayanya seperti orang takut-takut pada mulanya untuk berterus-terang. Cuma dia kata (pada peringkat awalnya), 'siapa-siapa perintah pun sama jugak'.

Kemudian saya cocok sikit, saya kata, 'bukankah elok kalau parti yang memerintah negara ini terdiri daripada pelbagai parti, dan bukan satu parti sahaja yang memerintah secara monopoli?'. Dan dia terus sahaja bersetuju. Ahhh..., ini sudah boleh masuk jarum panjang lagi, saya kata dalam hati. Dan saya pun tambah lagi, 'tengok sekarang, kalau parlimen bersidang, para wakil
rakyat kat dalam tu semuanya tidur. Bila time luluskan sesuatu usul oleh kerajaan, depa pun pakat angkat tangan sambil tidur saja.'

Kemudian saya tanya lagi, 'abang mengundi kat mana?'. Dia kata, dia mengundi di....(slow balik). Kemudian dia kata, 'kita semua kena mengundi, jangan tak mengundi, nak pilih siapa tu, belakang kira, pokoknya kena mengundi'. Cewah, itu gaya dia la untuk berkempen, maklumlah orang awam, takut punya pasal.

Kemudian saya pun mulalah sebut satu persatu bala yang menimpa orang Melayu -- daripada isu tanah orang Melayu yang dah tinggal sekangkang kera sampailah kepada sembahyang berjemaah kena ada permit sekarang ni. Amboi mak, dia punya semangat lepas tu, Tuhan saja yang tau, terus panas beb!

Dia pun berceritalah, masa kat kampung, dia ada kempen kat mak dia. Tapi maknya kata, 'ish, jangan sebut kuat-kuat, abang kau ada kat atas tu, abang kau tu polis dua orang tu.' Kemudian saya kata, 'itulah ya bang, negara dah merdeka lebih 40 tahun pun, kita masih takut-takut untuk bercakap, bukannya kita baru merdeka setahun dua, atau duduk zaman Jepun dulu.' Dia pun
mengangguk, 'yalah, apa dah jadi dengan kita semua sekarang ni? Memang dah jadi negara polis betul.'

Kemudian dia menambah, 'sekarang ni semua orang dah sokong parti alternatif. Hari tu, abang jumpa India dua orang. Katanya, depa baru serahkan borang ADIL dan bayar dua ringgit.' Saya pun kata, 'ya ke?' Dan dia kata lagi yang dia ada dua orang anak yang sudah boleh mengundi, dan dia betul-betul suruh mereka tu mengundi, jangan tak mengundi. Saya pun kata lagi, 'ya ke?'

Akhirnya saya pun pulang selepas membayar 5 ringgit sambil berkata dalam hati, 'ya ke BN boleh menang besar lagi lepas ni?'

Salam,

HC