PUTARAN KRONI
Sun Jul 11 10:33:21 1999
 

1. RODA IMPIAN : PUTARAN KRONI (I)

Pernah sebelum ini Awang terdengar akan minat seorang yang bernama Akhbar Khan yang berminat membeli saham-saham CLOB melalui Effective Capital Sdn. Bhd. Tetapi tawaran si Akhbar Khan ini tidaklah dipersetujui oleh pemegang-pemegang saham CLOB yang telah dibekukan oleh kerajaan mamak Mahathir. Tawaran si Akhbar Khan ini bukannya menguntungkan mereka, tetapi hanya mengkayakan si Akhbar Khan itu sahaja. Kemudian berkatalah si Qarun Malaysia yang tamak haloba bernama DAIM yang DIAM. Katanya, kerajaan tak  masuk campur di dalam tawaran si Akhbar Khan tersebut. Dan akhirnya
terbongkarlah rahsia. Rupa-rupanya si Akhbar Khan ini ialah kroni kepada si DAIM yang DIAM itu. Rupa-rupanya dalam DIAM si DAIM ini hendak membuat keuntungan di atas angin melalui orang perantaraan yang bernama Akhbar Khan. Bijak, bijak!. Bijak sungguh si DAIM yang DIAM hendak mengumpul duit. Menteri Kewangan katakan….

2. RODA IMPIAN : PUTARAN KRONI (II)

Seluruh Malaysia dah tahu bahawa manusia yang bernama Halim Saad adalah orang yang menguasai konglomerat RENONG. Entah angin dari mana yang datang, tiba-tiba empayar perniagaan yang besar itu runtuh. Menanggung beban hutang berpuluh billion ringgit. Namun si Halim Saad ini tetap relax. Dia tahu, pasti akan ada "Keluang Man" Malaysia yang akan datang
menyelamatkannya. Dan jangkaannya itu memang tepat. Diterbitkannya BON untuk dilanggani. Masalahnya, siapa yang hendak membeli bon tersebut ?. Tapi semuanya tetap beres. Satu Malaysia dah tahu macamana masalah BON itu diselesaikan.
Kemudian dapat tahulah rakyat Malaysia bahawa si Halim Saad itu rupa-rupanya kroni mamak Mahathir. Dan lebih daripada itu dia juga kroni kepada si Qarun DIAM yang bernama DAIM. Manakala Qarun DIAM bernama DAIM itu pula kroni juga kepada orang yang bernama Akhbar Khan. Pusing punya pusing, akhirnya putaran kroni dalam permainan Roda Impian itu berhenti di satu tempat bernama Shaesta Said. Maka berkahwinlah si Halim Saad dengan wanita yang bernama Shaesta itu. Rupa-rupanya juga, si Shaesta itu adalah anak saudara kepada si Akhbar Khan. Maka tahulah Awang. Rupa-rupanya bukan
sahaja perniagaan, wang ringgit dan harta benda yang berputar dan berkisar di kalangan kroni Mamak Mahathir dan Qarun DAIM, tetapi juga wanita dan calon isteri. Hebat, hebat !. Hebat sungguh mereka ini bermain permainan Roda Impian….

3. RODA IMPIAN : PUTARAN KRONI (III)

Selepas Akhbar Khan gagal membeli saham CLOB, maka dengan tiba-tiba menawar dirilah TELEKOM dan UEM untuk membeli saham-saham tersebut. Ditawarnya oleh kedua buah syarikat ini dengan harga diskaun 25 %. Jika berjaya maka
untunglah kedua-dua syarikat ini di atas angin sebayak RM 1,800,000,000. Kemudian dapat tahulah seluruh rakyat Malaysia bahawa syarikat yang bernama UEM itu adalah anak syarikat kepada konglomerat RENONG yang berhutang berpuluh billion ringgit itu. Tahulah juga rakyat Malaysia bahawa RENONG itu dikuasai oleh orang yang bernama Halim Saad. Halim Saad itu pula kroni kepada Mamak Mahathir. Mamak Mahathir pula kroni kepada DAIM. DAIM yang DIAM itu pula kroni kepada Akhbar Khan. Akhbar Khan itu pula bapa saudara kepada isteri baru Halim Saad. Tak terkilanlah agaknya si Akhbar Khan
bila dia gagal dalam usaha untuk membeli saham-saham CLOB dengan harga yang murah. Kalau dia tak dapat pun, yang mungkin dapat tetap bukan orang lain. Suami kepada anak saudaranya. Tapi yang menghairankan rakyat Malaysia ialah, tak ada syarikat lainkah yang hendak membeli saham-saham CLOB itu jika ia benar-benar boleh membawa keuntungan atas angin yang mencapai angka billion ringgit ?. Kenapa asyik-asyik yang terlibat ialah syarikat kroni mamak Mahathir dan DAIM yang DIAM itu sahaja ?. Nampaknya Roda Impian yang diputar tetap berpusing di lingkaran yang sama. Dari KRONI ke KRONI.
Cerdik, cerdik !. Cerdik dalam menipu….

4. RODA IMPIAN : PUTARAN KRONI (IV)

Terdapatlah sebuah kolej di Melaka yang konon-kononnya dibina untuk melatih anak-anak bangsa menjadi pelapis kepada pemimpin negara di masa hadapan. Terdengarlah juga cerita yang mengatakan kolej tersebut mengutamakan anak-anak golongan berpendapatan rendah. Tetapi anak-anak tersebut mestilah terbukti hebat di dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum. Berbanggalah sesetengah pihak dengan usaha penguasa Renong iaitu Halim Saad membina kolej yang bernama Kolej Yayasan Saad tersebut. Apatah lagi dia adalah kroni kepada DAIM. Dan juga kroni kepada Mamak Mahathir. Dan juga kroni kepada Akhbar Khan. Dan juga suami kepada anak saudara Akhbar Khan. Tanpa di duga tiba-tiba dianjurkanlah oleh Kolej Yayasan Saad itu satu orkestra yang dianggotai oleh pelajar-pelajarnya. Memuji-mujilah akhbar-akhbar pelacur negara akan kebijaksanaan para pelajar tersebut bermain alat muzik. Apatah lagi para pelajar tersebut pada asalnya langsung tidak mempunyai asas di dalam bidang muzik. Dan di antara pelajar-pelajar tersebut, terselitlah seorang budak yang bapanya bernama Mamak Mahathir.

Bertanya-tanyalah rakyat Malaysia, atas kriteria apakah anak Mamak Mahathir tersebut dapat belajar di Kolej Yayasan Saad ?. Cemerlangkah dia di dalam bidang kurikulum ?. Cemerlangkah juga dia di dalam bidang ko-kurikulum ?. Dan yang memeningkan kepala rakyat Malaysia ialah, berpendapatan rendahkan bapa budak itu ?. Fikir punya fikir, akhirnya dapatlah Awang jawapan yang memusykilkan rakyat Malaysia tersebut. Rupa-rupanya bapa budak itu iaitu Mamak Mahathir memang berpendapatan rendah. Tetapi berpendapatan rendahnya bapa budak itu bukanlah dari kategori rakyat biasa. Berpendapatan
rendahnya Mamak Mahathir adalah kerana ia dibandingkan dengan pendapatan golongan jutawan kroninya yang lain seperti DAIM yang DIAM, Halim Saad, Akhbar Khan, Ananda Krishnan dan Tajudin Ramli. Dan bertambah rendah lagilah
pendapatan bapa budak itu apabila ia dibandingkan dengan pendapatan Suharto dan Bill Gates. Kasihan sungguh kepada budak itu. Maklumlah, bapanya orang miskin..... Persoalannya, jika Mamak Mahathir digolongkan di dalam golongan orang yang berpendapatan rendah, maka golongan apakah pula kita ini sebagai rakyat biasa ?. Mungkin ahli-ahli parti pelampau UMNO boleh menjelaskannya melalui siri debat yang "sekejap ada, sekejap tak ada".